Mata kuning: Punca yang menyebabkan masalah ini

Published by Dr Latif Saad on

23Shares

Mata kuning adalah dikenali sebagai ‘jaundis’ dalam istilah perubatan. Keadaan seperti ini berlaku apabila kompaun bilirubin meningkat di dalam darah.

Hemoglobin merupakan struktur yang terdapat di dalam sel darah merah dan berfungsi sebagai pembawa oksigen. Penguraian hemoglobin akan  menghasilkan kompaun bilirubin. Penguraian ini terjadi ketika sel darah merah sudah mencapai usia 6 bulan, dimana sel darah merah akan melepaskan hemoglobin yang seterusnya akan diuraikan menjadi bilirubin.

Ketika keadaan bilirubin menjadi tinggi di dalam darah, kesemua bahagian anggota badan akan turut menerima kesannya termasuklah pada bahagian mata dan juga kulit. Akibatnya, bahagian mata dan kulit berubah menjadi warna kekuningan.



Apakah punca yang menyebabkan mata menjadi kuning?

Terdapat beberapa bahagian/elemen di dalam tubuh yang boleh menjadi punca kepada mata kuning. Antaranya seperti:

  • Hati
  • Pundi hempedu
  • Sel darah merah

1. Mata kuning yang berpunca daripada masalah hati

Terdapat pelbagai fungsi hati antaranya adalah menguraikan sel darah merah yang sudah tua, menyingkirkan kompaun bilirubin yang terhasil daripada penguraian sel darah merah dan banyak lagi.

Apabila berlaku sesuatu masalah yang menyebabkan fungsi hati terganggu, ia boleh menyebabkan kompaun bilirubin tidak dapat disingkirkan dan kepekatannya akan menjadi semakin tinggi di dalam darah. Masalah yang boleh membawa kepada keadaan tersebut adalah:

  • Pengambilan alkohol yang berlebihan
  • Kanser hati
  • Jangkitan hati (Hepatitis)
  • Non-alcholic fatty liver disease (Hati berlemak). Masalah ini biasanya berlaku kepada mereka yang mempunyai penyakit kencing manis dan juga obes
  • Liver cirrhosis: Keadaan apabila hati meradang dan menjadi rosak sehingga menghasilkan banyak parut pada organ hati tersebut.

2. Penyakit genetik

Masalah hati berparut (Liver cirrhosis) boleh berpunca daripada beberapa penyakit genetik. Antara penyakit genetik tersebut adalah:

  • Hemochromatosis: Penyakit ini berlaku disebabkan oleh pengumpulan zat besi pada bahagian hati.
  • Wilson’s disease: Penyakit ini berlaku disebabkan oleh pengumpulan unsur kuprum dalam hati.

3. Jaundis yang berpunca daripada masalah pundi hempedu

Hati merupakan tempat menghasilkan cecair hempedu dan ia akan disimpan terlebih dahulu dalam pundi hempedu. Di dalam cecair hempedu, terdapat kompaun bilirubin yang akan disingkirkan ke dalam usus dan lalu ia menyebabkan najis anda menjadi warna kuning.

Apabila berlaku sumbatan yang menghalang penyingkiran cecair hempedu daripada pundi hempedu, kompaun bilirubin dalam darah akan menjadi semakin meningkat lalu menyebabkan mata pesakit menjadi kekuningan.

Antara masalah yang boleh membawa kepada perkara ini berlaku adalah:

  • Sumbatan kerana kehadiran batu hempedu
  • Jangkitan pada saluran hempedu yang berfungsi untuk menyingkirkan cecair hempedu (ascending cholangitis)
  • Kanser pada saluran hempedu
  • Jangkitan pada pundi hempedu (Acute Cholecystitis)

Simptom-simpton lain yang boleh dialami oleh pesakit yang mengalami sumbat pada pundi hempedu adalah:

  • Warna najis bertukar menjadi warna pucat
  • Warna kuning air kencing menjadi lebih pekat seperti warna air teh

4. Penyakit berkaitan sel darah merah

Terlalu banyak sel darah yang mati boleh menyebabkan penghasilan bilirubin yang banyak dalam darah. Keadaan ini juga merupakan salah satu punca kepada jaundis. Terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan banyak sel darah merah pecah. Antaranya adalah:

  • Autoimmunie Hemolytic Anemia: Keadaan ini melibatkan sel darah putih sendiri yang menyerang sel darah merah lalu menyebabkan sel darah merah pecah
  • Sickle cell anemia (Anemia sel sabit): Masalah ini disebabkan oleh hemoglobin yang terhasil adalah tidak normal lalu menyebabkan ia bergumpal di dalam sel darah merah. Akibatnya, sel darah merah menjadi bentuk seperti bulan sabit. Bentuk sel darah merah seperti ini adalah lebih keras, tidak elastik dan lebih mudah untuk pecah.
  • Kekurangan enzim glucose-6-phosphate dehydrogenase (G6PD deficiency): Masalah ini menyebabkan sel darah merah lebih mudah untuk diserang oleh radikal bebas di dalam darah lalu menyebabkan ia lebih mudah terpecah.

Apakah simptom dan tanda-tanda kepada masalah ini (Jaundis) ?

Masalah mata kuning boleh juga diiringi dengan beberapa simptom-simptom lain yang mana ia bergantung kepada punca yang menyebabkan masalah tersebut berlaku.

Berikut merupakan tanda-tandanya:

  • Kulit gatal
  • Rasa tidak sihat dan badan lemah
  • Perut seperti terasa penuh: Masalah ini selalunya berlaku setelah pesakit mengalami masalah kegagalan hati dalam jangka masa tertentu dan ia disebabkan oleh air yang terkumpul di dalam bahagian abdomen
  • Demam
  • Warna najis bertukar menjadi pucat: Keadaan ini selalu berlaku kerana saluran hempedu tersumbat.
  • Warna air kencing menjadi lebih gelap seperti warna teh

Namun, bagi bayi yang mengalami mata kuning dan jaundis, ia boleh berpunca daripada pelbagai faktor yang berbeza.



Rujukan:

  1. How is gallbladder cancer diagnosed? (2014, February 6). cancer.org/cancer/gallbladdercancer/detailedguide/gallbladder-diagnosis
  2. What Causes Yellow Eyes? Healthline.com. https://www.healthline.com/symptom/yellow-eyes
  3. Jaundice. (2013, February 26). nhs.uk/Conditions/Jaundice/Pages/Introduction.aspx
Categories: Simptom

Dr Latif Saad

Seorang pegawai perubatan dan masih berkhidmat di klinik kesihatan. Pengasas kepada page The Diagnosa dan Root of Science

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *