Kayap: Punca, Simptom dan Rawatan

Published by Dr Latif Saad on

368Shares

Kayap dalam bahasa inggeris dipanggil sebagai ‘Shingles’ dan ia disebabkan virus yang juga menyebabkan penyakit chicken pox(Cacar air). Ia berlaku pada mereka yang sebelum ini pernah mengalami jangkitan chicken pox.

Apa yang menarik tentang kayap ini dengan masyarakat kita, ia selalu dikatakan jika kayap itu berpusing mengelilingi badan seseorang itu, maka ia akan menyebabkan kematian. Perkara ini adalah sesuatu yang tidak benar.

Apakah itu penyakit kayap?

Masalah kayap merupakan penyakit kulit dan saraf dan ia disebabkan jangkitan virus yang berlaku di bahagian saraf yang berhubung kepada kulit.

Sebelum kayap ini terjadi, pesakit sebelum ini perlu mempunyai sejarah dijangkiti dengan penyakit chicken pox(cacar air). Virus yang menyebabkan masalah ini dikenali sebagai Varicella zoster.

Ketika mana pesakit chicken pox sembuh daripada penyakit tersebut, sebahagian daripada virus ini akan menjadi tidak aktif dan duduk di dalam saraf dekat dengan tulang belakang. Saraf ini adalah saraf yang berhubung dengan kulit dan menghantar maklumat rangsangan daripada kulit.

Ketika mana seseorang itu mengalami masalah lemah sistem imun sebagai contoh pada mereka yang mengalami kencing manis, pesakit kanser ataupun mereka yang menggunakan steroid, virus ini akan menjadi aktif semula dan menjangkiti saraf dibahagian kulit

Bagaimana kayap berlaku?

Jangkitan virus Varicella-Zoster mempunyai dua jenis jangkitan:

1. Cacar air(chicken pox)

Ia merupakan jangkitan yang berlaku kepada manusia sebelum berlakunya kayap. Selepas jangkitan ini, partikel virus akan menjadi tidak aktif dan tinggal di bahagian akar saraf yang menyalurkan maklumat berkenaan rangsangan sentuhan dan sakit. Virus tersebut mungkin tidak akan aktif untuk beberapa tahun mahupun dekad

Pada tempoh ini, mekanisma sistem imun akan mengelakkan virus tadi daripada membiak. Tetapi apabila keadaan sistem imun tidak begitu bagus disebabkan beberapa keadaan, virus tersebut akan menjadi aktif semula

2. Kayap(Shingles)

Ketika mana virus Varicella-zoster aktif semula, ia akan menyebabkan kawasan saraf yang didiami oleh virus tersebut mengalami keradangan.

Kawasan saraf yang selalunya didiami oleh virus tersebut merupakan kawasan saraf yang memberikan maklumat berkenaan deria rasa dan sakit. Kawasan tersebut dinamakan sebagai ‘dermatome’.

Apabila virus menjadi aktif semula, ia akan memaksa sel darah putih pergi ke kawasan yang terlibat dan menyebabkan keradangan. Disebabkan kawasan saraf tersebut merupakan kawasan yang menerima maklumat rangsang daripada sentuhan dan rasa sakit, pesakit selalunya akan mengadu rasa sakit di bahagian yang terlibat sebelum timbulnya ruam kayap

Fasa jangkitan

Terdapat 3 fasa jangkitan kayap yang akan berlaku pada seseorang pesakit. Ianya terdiri daripada:

1. Fasa sebelum terjadinya ruam(Pre-eruptive phase)

Pada masa ini, pesakit akan mengadu rangsangan yang tidak normal pada kawasan kulit yang terlibat. Malah ia juga akan menyebabkan rasa sakit pada kawasan tersebut tanpa mempunyai sebarang ruam.

Ia berlaku selama 2-3 hari sebelum ruam terbentuk. Pada masa ini juga, pesakit mungkin akan merasa letih, sakit-sakit badan, sakit kepala dan demam.

2. Fasa Ruam

Pada ketika ini, ruam yang mengandungi air akan mula timbul dengan banyakknya pada kawasan dermatome yang terlibat. Pesakit akan mengadu sakit yang kuat dibahagian tersebut disebabkan keradangan pada saraf

Ia akan bermula daripada kawasan tulang belakang iaitu daripada belakang. Ini kerana saraf dermatome keluar daripada tulang belakang ke bahagian hadapan badan.

Ruam ini akan timbul pada hari 3-5. Ruam tersebut akan meletus mengeluarkan airnya berserta virus varicella-zoster tersebut. Kemudian ia akan menjadi ulser dan kering.

Pesakit sangat mudah menjangkiti orang lain sehinggalah ruam tersebut benar-benar kering dan pulih.

Ini adalah dermatome badan. Selalunya kayap hanya akan menjangkiti satu bahagian dermatome pada badan

3. Fasa kronik

Fasa kronik mempunyai karakter dimana pesakit akan berasa sakit pada bahagian kayap sebelum ini selama lebih daripada 30 hari walaupun pada ketika itu semua ruam kayap telah pun sembuh.

Ia berlaku pada 9-45% pesakit yang menghidapi kayap. Kebanyakkannya akan merasakan sakit seperti dibakar, rasa kebas ataupun seperti kena arus elektrik pada kawasan kulit yang terlibat sebelum ini



Apakah Punca Kayap?

Ia berpunca daripada jangkitan virus Varicella-Zoster yang pada mulanya menyebabkan masalah cacar air(chicken pox). Jangkitan tersebut selalunya berlaku apabila virus tersebut terkena pada bahagian mukosa(kulit dalam hidung dan mulut).

Disitu ia akan pergi ke seluruh badan dan menyebabkan penyakit cacar air(chicken pox). Apabila sistem imun badan mampu melawan virus tersebut, sebahagian daripada virus akan menjadi tidak aktif dan mendiami kawasan saraf yang terlibat dalam rangsangan dan juga deria sakit.

Apabila sistem imun pesakit menjadi tidak efektif, virus tersebut akan membiak semula dan menyebabkan kayap

Apakah faktor yang menyebabkan seseorang itu mudah kena kayap?

Terdapat beberapa faktor risiko yang menyebabkan kayap terjadi:

  1. Umur yang semakin meningkat. Ini kerana semakin meningkat usia, sistem imun menjadi semakin kurang efektif
  2. Sistem imun yang berkurangan disebabkan penyakit seperti HIV, kencing manis
  3. Rawatan yang melemahkan sistem imun. Sebagai contoh rawatan kemoterapi ataupun steroid

Walaubagaiamanapun, terdapat beberapa penyakit juga yang akan meningkatkan risiko untuk menghidapi kayap. Ianya adalah:

  1. Rheumatoid Arthritis
  2. Penyakit keradangan usus(Inflammatory bowel disease)
  3. ‘Chronic obstructive pulmonary disease’
  4. Asma
  5. Kegagalan buah pinggang
  6. Tekanan perasaan(depression)

Jika anda mempunyai perkara-perkara tersebut, anda mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat kayap

Apakah kesudahan penyakit kayap?

Ruam tersebut selalunya sembuh dalam 10-15 hari. Kesudahan bagi pesakit yang muda adalah lebih baik daripada mereka yang sudah berumur.

Bagi pesakit yang mempunyai masalah sistem imun pun sama, komplikasinya adalah lebih teruk berbanding mereka yang sihat. Jika ia berlaku pada pesakit ini ia boleh menyebabkan jangkitan pada otak, hati, paru-paru dan ia juga boleh menyebabkan kematian pada pesakit tersebut.

Apakah simptom dan tanda tanda kayap?

Simptom akan bermula dengan rasa sakit dikawasan kulit yang terlibat. Perkara tersebut akan berlaku selama 2-3 hari terlebih dahulu.

Pesakit juga akan mengalami simptom yang am seperti:

  1. Demam
  2. Rasa letih
  3. Sakit-sakit badan
  4. Sakit otot

Kemudian ia akan diikuti dengan ruam yang mempunyai air. Pada ketika itu, pesakit akan mengalami kesakitan yang teruk disebabkan keradangan pada saraf dikawasan tersebut.

Apakah penyakit lain yang mungkin menunjukkan simptom yang sama?

Penyakit kayap merupakan penyakit kulit dan ia mungkin menunjukkan simptom yang sama dengan bebepara jenis penyakit kulit yang lain. Penyakit-penyakit tersebut adalah:

  1. Jangkitan bakteria pada tisu kulit(Cellulitis)
  2. Chicken pox
  3. Folliculitis
  4. Gigitan serangga
  5. Jangkitan kulat

Apakah ujian yang digunakan untuk mengesahkan penyakit kayap?

Bagi penyakit kayap, ia tidak memerlukan penyiasatan makmal mahupun pengimejan untuk mengetahui pesakit tersebut sama ada menghidap kayap ataupun tidak. Cukup dengan pemeriksaan fizikal boleh menentukan pesakit mempunyai kayap ataupun masalah lain.

Ini kerana ruam kayap sangat tipikal dan mudah dikenali. Ruam tersebut selalunya terletak pada dermatome iaitu kawasan yang dihubungi dengan saraf rangsangan sentuhan mahupun rasa sakit. Ia selalunya bermula daripada kawasan tulang belakang dan kehadapan. Ia akan melibatkan sebelah bahagian badan sahaja selalunya.

Tetapi bagi keadaan yang istimewa seperti pesakit yang mempunyai simptom jangkitan di otak(encephalitis), pengambilan air tulang belakang perlu dilakukan untuk mengesahkan kuman yang terlibat dalam jangkitan tersebut.

Apakah rawatan untuk penyakit kayap?

Kebanyakkan jangkitan kayap boleh baik dengan sendirinya tanpa intervensi ataupun rawatan. Ia selalunya tidak begitu berbahaya bagi kanak-kanak berbanding orang dewasa. Walaubagaimanapun, rawatan tetap diberikan kerana ia boleh mengurangkan masa jangkitan berlaku dan mengelakkan komplikasi kronik seperti sakit dibahagian kayap berbulan-bulan lamanya.

Rawatan boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian seperti

1. Rawatan sokongan

Penggunaan losyen kalamine boleh mengurangkan rasa gatal pada kawasan ruam dan bertindak sebagai anti-bakteria. Ini adalah untuk mengelakkan pesakit menggaru kawasan tersebut yang boleh menyebabkan jangkitan bakteria pula

2. Ubat Tahan Sakit

Kebanyakan pesakit akan mengalami simptom kesakitan disebabkan kayap tersebut. Ia merupakan rungutan yang selalu diceritakan oleh pesakit kepada doktor. Kegagalan dalam rawatan tersebut akan menyebabkan pesakit menderita

Penggunaan ubat nSAIDS seperti mefenemic asid dan diclofenac terbukti mengurangkan sakit dibahagian yang terlibat.

Tetapi jika ia masih mendatangkan masalah kepada pesakit, penggunaan ubat yang lebih kuat seperti Gabapentin dan jugak tramadol mungkin diperlukan

3. Ubat Anti-Viral

Terdapat ubat anti-viral untuk merawat pesakit kayap. Jika di dalam jangkitan bakteria, ubat antibiotik digunakan untuk membunuh bakteria tersebut, maka dalam jangkitan virus, kita akan gunakan ubat anti-viral.

Ubat anti-viral yang selalu digunakan dalam rawatan kayap adalah acyclovir. Pesakit selalunya akan diberi makan ubat ini jika tempoh penyakit tersebut masih kurang daripada 3 hari. Tetapi jika ia telah lebih daripada 3 hari, selalunya rawatan anti-viral tidak diberikan kerana ia tidak akan mengurangkan tempoh penyakit tersebut.

Apakah yang perlu dibuat jika seseorang itu mengalami masalah ini?

Ketika ruam masih ada, pesakit perlulah mengasingkan diri daripada berjumpa dengan orang yang sudah berumur, mereka yang mengalami masalah sistem imun, perempuan mengandung ataupun mereka yang belum mengalami cacar air. Ini kerana virus daripada cecair kayap tersebut boleh menjangkiti mereka dan menyebabkan cacar air(chicken pox)

Untuk rawatan pula, pesakit perlulah mendapatkan rawatan dalam masa 72 jam setelah simptom bermula. Ia untuk mempercepatkan kayap tersebut sembuh. Malah ia dapat mengelakkan komplikasi yang menyebabkan pesakit ke fasa kronik. Di mana pesakit masih mempunyai rasa sakit dikawasan kayap walaupun ruam tersebut sudah pun sembuh.

Fasa kronik boleh berlaku berbulan lamanya dan menyebabkan pesakit menderita dalam tempoh tersebut



Rujukan:

  1. Dworkin RH, Johnson RW, Breuer J, Gnann JW, et al. Recommendations for the management of herpes zoster. Clin Infect Dis. 2007 Jan 1. 44 Suppl 1:S1-2.
  2. Zareba G. Pregabalin: a new agent for the treatment of neuropathic pain. Drugs Today (Barc). 2005 Aug. 41(8):509-16.
  3. Kost RG, Straus SE. Postherpetic neuralgia–pathogenesis, treatment, and prevention. N Engl J Med. 1996 Jul 4. 335(1):32-42.
  4. Long MD, Martin C, Sandler RS, Kappelman MD. Increased risk of herpes zoster among 108 604 patients with inflammatory bowel disease. Aliment Pharmacol Ther. 2013 Feb. 37(4):420-9.
  5. Wung PK, Holbrook JT, Hoffman GS, Tibbs AK, Specks U, et al. Herpes zoster in immunocompromised patients: incidence, timing, and risk factors. Am J Med. 2005 Dec. 118(12):1416.
  6. Long MD, Martin C, Sandler RS, Kappelman MD. Increased risk of herpes zoster among 108 604 patients with inflammatory bowel disease. Aliment Pharmacol Ther. 2013 Feb. 37(4):420-9.
  7. Gnann JW Jr, Whitley RJ. Clinical practice. Herpes zoster. N Engl J Med. 2002 Aug 1. 347(5):340-6

Categories: Uncategorized

Dr Latif Saad

Seorang pegawai perubatan dan masih berkhidmat di klinik kesihatan. Pengasas kepada page The Diagnosa dan Root of Science

1 Comment

zulkhairi · March 22, 2019 at 4:48 am

adakah chicken pox boleh dialami dua kali?
selepas kayap sembuh,virus tersebut totally keluar terus dari badan atau tidak?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *