Apakah itu sunat(Berkhatan) dan Kelebihannya?

Published by Dr Latif Saad on

Ramai tertanya-tanya berkenaan dengan kelebihan ataupun hikmah dalam amalan berkhatan ini. Ada yang tidak tahu dan ada pula yang tahu.

Disini Dr Muhammad Uwais Al-Qorni akan menerangkan kelebihan berkhatan daripada aspek perubatan yang ramai orang tidak tahu. Dr Uwais merupakan salah satu pegawai perubatan yang berkhidmat di Klinik APM Pakar Wanita, Kota Tinggi, Johor

Berkhatan dan kelebihannya

Musim cuti sekolah tiba lagi! Dan pada musim ini, aktiviti yang paling hangat diperkatakan sudah semestinya adalah sunat, atau juga disebut berkhatan (sunat) dan “masuk Jawi”.

Kebanyakan daripada masyarakat kita lebih selesa dengan adat untuk menyunatkan anak lelaki di kala kanak-kanak itu mencecah usia antara 5 hingga 12 tahun. Tetapi tahukah anda sebenarnya adalah sunnah untuk menyegerakan sunat pada ketika kanak-kanak berusia 7hari?

Ini adalah berdasarkan hadith :Dari Jabir bin ‘Abdillah RA ; bahawa Rasulullah saw melaksanakan aqiqah Hasan dan Husain serta mengkhitan keduanya pada hari ketujuh.(Hadith Riwayat Thabrani dan Baihaqi)

Jika anda taipkan sahaja di enjin carian “Google” perkataan “Sunat Bayi Lelaki”, anda akan dapati terdapat ramai pakar dan ahli ilmuan yang menceritakan perihal kebaikan dan kelebihan sunat pada bayi, termasuklah baru-baru ini telah tular suatu hantaran yang dibuat oleh sahabat doc berkenaan dengan sunat bayi lelaki.

Berikutan daripada tularnya hantaran tersebut, sahabat doc ini telah dihujani pelbagai persoalan termasuklah salah satu soalan berbunyi seperti berikut :
“Ada tak kajian mengatakan bila dah besar yg sunat baby ni bentuknya masih spt org dah bersunat sehingga dewasa..bukan apa sy risau kena sunat 2 kali je “

Kasihan pula doc dengan sahabat ini, beliau telah meminta doc untuk menjawab serba sedikit persoalan tentang sunat bayi lelaki dua kali.

Apakah itu sunat (Berkhatan)?

Bagi menjawab soalan ini, doc suka untuk berkongsi terlebih dahulu sedikit informasi mengenai sunat. Sunat atau “Circumcision” adalah suatu prosedur pembedahan kecil. Prosedur ini melibatkan pemotongan lebihan kulit yang dinamakan “Foreskin” yang menutupi kepala takuk (glans) zakar. Kulit ini juga dalam bahasa melayu lebih dikenali sebagai Kulup.

Apakah Kelebihan bersunat(berkhatan)?

Tujuan pemotongan Kulup ini adalah untuk menyucikan bayi tersebut(Thaharoh), mengelakkan dari pelbagai penyakit bawaan kelamin seperti Human Immunodeficiency Virus (HIV) dan Sexual Transmitted Diseases (STD),serta mengelakkan penyakit jangkitan kencing seperti Urinary Tract Infection (UTI). Di samping itu,sunat juga dapat melindungi daripada risiko menghidap kanser zakar.

Bilakah kanak-kanak tidak perlu bersunat?

Terdapat cuma beberapa kes di Malaysia di mana kanak-kanak itu menghidap masalah mental dan mengalami penyakit pendarahan yang tidak boleh berhenti iaitu penyakit Haemophilia.

Di dalam kedua-dua keadaan ini, pesakit diberikan pengecualian untuk bersunat berdasarkan Majlis Fatwa Kebangsaan. (1)

Terdapat juga masalah kelainan bentuk zakar seperti Hypospadias, Epispadias, Chordee, Khunsa dan sebagainya yang memerlukan pemerhatian dan rawatan pakar, kerana individu yang mengalami masalah sedemikian mungkin akan mendapat lebih banyak komplikasi jika disunatkan.

Komplikasi sunat

Walaupon sunat mengandungi pelbagai kelebihan, perlu diingatkan kepada semua ibu bapa yang hendak menyunatkan anak mereka bahawa setiap prosedur pembedahan akan ada komplikasinya yang tersendiri.

Antara komplikasi yang paling kerap berlaku adalah jangkitan dan pendarahan pada luka sunat. Namun, ini semua bergantung kepada teknik, skill dan keadaan kesihatan kanak-kanak atau bayi itu sendiri.

Sunat 2 kali?

Selain daripada komplikasi di atas,terdapat satu komplikasi sunat yang menyebabkan bayi perlu disunat semula. Komplikasi ini mempunyai namanya tersendiri iaitu “Redundant Prepuce/Foreskin” atau juga dalam bahasa melayu yang lebih mudah difahami ; zakar terkulup semula.

Hal ini berlaku adalah kerana sewaktu sunat pada bayi lelaki itu dilakukan, hanya sedikit kulup yang dipotong dan menyebabkan apabila luka sunat itu sudah sembuh, ianya kelihatan sama sekali seperti tidak bersunat.

Prosedur sunat dua kali ini dinamakan “Circumcision Revision”. (2) Selepas beberapa hari bayi disunatkan,andai anda mendapati bahawa zakar bayi tersebut terkulup semula, anda harus segera berjumpa dengan doctor untuk penilaian semula.



Kajian mengenai sunat pada kaum lelaki?

Kajian pada tahun 2011 di Amerika Syarikat oleh sekumpulan penyelidik mendapati, masalah zakar terkulup semula ini adalah biasa berlaku dan selalunya bayi ini akan dirujuk kepada pakar Urologi Kanak-Kanak. (3)

Dalam kajian tersebut, daripada sebanyak kira-kira 476 komplikasi sunat bayi lelaki dilaporkan, 40% adalah melibatkan masalah zakar terkulup semula . Hal ini mungkin disebabkan oleh teknik sunat yang dilakukan pada bayi itu sendiri iaitu dengan menggunakan peralatan seperti “Plastibell” atau “Gomco” berbanding kaedah “Potong & Jahit” yang digunakan pada kanak-kanak yang lebih besar.

Daripada 40% jumlah yang dirujuk kepada pakar urologi kanak-kanak ini pula,tidaklah semuanya perlu dilakukan “Circumcision Revision”. Kriteria pemilihan pesakit yang perlu menjalani sunat dua kali ini selalunya bersifat subjektif iaitu bergantung kepada penilaian pakar Urologi Kanak-Kanak yang bertugas.

Daripada semua kes yang dirujuk,hanya kira-kira 5% sahaja yang betul-betul perlu disunat semula itupun apabila berlaku keadaan yang dipanggil “Phimosis”, iaitu bebird buta disebabkan terlalu sedikit Kulup yang dipotong.

Waktu terbaik khatan bagi lelaki

Dalam kajian yang lain, daripada seramai 583 kes sunat bayi lelaki dijalankan, hanya 2 kes yang memerlukan jahitan. Kedua-duanya pada bayi yang berusia 3minggu. Manakala selebihnya langsung tidak memerlukan jahitan.

Berpandukan markah kesakitan bayi (Neonatal Pain score) pula, kajian ini mendapati usia bayi yang terbaik untuk dilakukan sunat adalah di sekitar bayi yang berusia seminggu. Hal ini kerana bayi yang berusia seminggu tidak “merasa” dan mengingati kesakitan ketika bersunat. (4)

Oleh itu, bertepatan dengan sunnah untuk berkhatan pada usia 7hari, ibu bapa disarankan untuk menyunatkan bayi lelaki mereka yang sihat daripada sebarang penyakit dalam tempoh ini bagi mengelakkan komplikasi sunat dan rasa kesakitan pada bayi ketika bersunat. Sekaligus mengelakkan gangguan perkembangan emosi pada bayi tersebut.

Makanan untuk pesakit sunat (berkhatan)

Jika anda ingin menyunatkan anak anda di usia bayi, susu ibu terbukti mengandungi zat yang penting dan diperlukan untuk menyegerakan penyembuhan luka sunat.

Manakala jika anda menyunatkan anak anda pada usia kanak- kanak lelaki yang aktif,sila elakkan makanan yang tinggi kandungan gula, serta banyakkan memberi anak anda makanan yang berprotein tinggi bagi mempercepatkan penyembuhan luka.

Kesimpulan

Kesimpulannya, tidak menjadi kesalahan mahupun stigma jika anda ingin menyegerakan sunat bayi anda bahkan ia merupakan sunnah. Namun, anda disarankan untuk mencari doctor yang betul-betul pakar dan terlatih dalam bidang sunat bayi. Selain itu, para ibu bapa juga perlulah peka akan keadaan kesihatan anak-anak mereka sebelum menyunatkan mereka.

Setelah disunatkan, pastikan anda menjaga dan tidak terlalu memanjakan anak anda dengan membiarkan luka sunat itu dibiarkan tidak berbasuh. Sesetengah ibu bapa terlalu risau melihat anak mereka menangis dan menjerit kesakitan tatkala luka sunat dibasuh menyebabkan mereka membiarkan saja luka tersebut.

Silalah memantau perkembangan luka terutamanya jika ianya kerap berdarah dan lambat sembuh melebihi seminggu. Jika risau atau tidak yakin, bawalah semula anak anda untuk berjumpa doctor yang mengkhatakankan anak anda semula untuk pemeriksaan lanjut.
Wallahualam

Dr Uwais, Tok Mudim Sambilan



Rujukan :

  1. http://www.myhealth.gov.my/berkhatan/
  2. https://my.clevelandclinic.org/…/16206-circumcision-revision
  3. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3253617/
  4. Banieghbal B. Optimal time for neonatal circumcision: an observation-based study. Journal of Pediatric Urology. 2009;5(5):359–362.
Categories: Pembedahan

Dr Latif Saad

Seorang pegawai perubatan dan masih berkhidmat di klinik kesihatan. Pengasas kepada page The Diagnosa dan Root of Science

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *